‘Pak Cik Ada RM3 Jer, Boleh Beli Berapa Dik?’ Kisah Seorang Bapa Mahu Belikan Oden Untuk Anaknya, Menyentuh Hati Ramai Orang

Benar kata orang pengorbanan ibu bapa itu tiada penghujungnya. Sejak lahir sehinggalah dewasanya si anak, ibu bapa tetap akan mengutamakan anak-anak mereka lebih daripada diri mereka sendiri.

Apa yang mereka mahukan ialah keselesaan dan kesenangan anak-anak.

Namun, di sebalik semua pengorbanan, air mata dan penat lelah ibu bapa membesarkan anak, masih ada anak-anak yang tidak bersyukur.

Mereka bahkan menambah beban dengan meminta sesuatu yang tidak mampu diberikan oleh ibu bapa. Mereka mementingkan diri dan hanya mahu kesemua permintaan mereka dituruti.

Membaca kisah seorang bapa dan anak perempuannya yang berlaku di Family Mart baru-baru ini pasti akan buatkan anda menitiskan air mata.

Di situ jelas sekali pengorbanan si ayah untuk memenuhi permintaan anaknya walaupun si anak tidak berterima kasih malah meninggalkan si ayah di kedai serbaneka tersebut.

Kisah sedih itu dikongsikan oleh seorang pengguna Twitter, @NollyNurlida melalui akaun miliknya.

Semuanya bermula semasa dia berada di Family Mart dan ketika itu dia sedang menikmati oden yang sememangnya terkenal dengan rasa enaknya. Tiba-tiba muncul seorang lelaki tua dan meminta untuk mendapatkan kuah oden tersebut namun menurut juruwang itu dia tidak boleh memberikannya begitu sahaja kepada pak cik tersebut.

Pak cik itu kemudian bertanya harga makanan tersebut dan juruwang memberitahu bahawa harga makanan yang dimaksudkan ialah 60 sen. Mendengar kata-kata juruwang, pak cik tersebut terus mengeluarkan dompetnya dan mengira wang yang ada. Ketika itu dia hanya memiliki RM3 dan terus bertanya berapa jumlah oden yang boleh dia dapat dengan duit sebanyak itu.

Tiba-tiba ada suara merengus dari arah pintu kedai. Seorang remaja perempuan sekitar 15 tahun sedang menghentak kaki sebelum berlalu keluar dari kedai tersebut. Melihat kelakuan anaknya yang kurang sopan pak cik tersebut terus meminta maaf dan mengatakan bahawa anaknya yang mahu makan oden tersebut.

Pak cik itu kemudian menunjukkan plastik yang ada di tangannya. Ada bebola ikan dan kek ikan di dalamnya. Menurutnya jika dia boleh mendapatkan kuah tersebut secara percuma dia boleh memasak bebola ikan dan kek ikan tersebut dengan kuah tersebut. Menurut NollyNurlida bebola dan kek ikan tersebut adalah bebola yang biasa dibeli dengan harga RM1.20 di kedai.

Melihat apa yang berlaku pastinya pelanggan yang lain di situ turut simpati dengan pak cik tersebut. Ada juga yang semestinya geram dan marah dengan anak perempuannya.

Babak menyentuh hati itu tidak berakhir di situ apabila tiba-tiba muncul seorang wanita memotong barisan dan terus ke kaunter untuk memesan makanannya. Mungkin kerana telah beratur terlalu lama membuatkan dia agak marah.

Sebaik sahaja pesanannya siap, dia terus berpaling dan menyerahkan oden tersebut kepada pak cik tadi dengan berkata, “Bang, ambil ini saya belanja untuk anak abang,”. Pak cik itu hanya diam dan tertunduk, mungkin kerana malu dengan perlakuan anaknya yang disedari oleh wanita tersebut sehingga wanita itu membelikannya oden.

Mereka yang menyaksikan kejadian itu diam. Rata-ratanya terkilan dan sedih dengan apa yang berlaku. Ada juga yang terharu dengan kebaikan wanita tersebut. Kisah tersebut telah menimbulkan pelbagai reaksi netizen di Twitter.

Ternyata si ayah sanggup menebalkan muka demi memenuhi kehendak si anak. Wahai anak-anak, hargailah ibu bapa selagi mereka masih ada. Hormati mereka dan hargai jasa dan pengorbanan mereka kerana hilang mereka tiada gantinya…

Sumber: Twitter

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*