T R E G E D I bazar! Apa yang pelanggan lakukan buat peniaga air balang terharu, “Yang patahnya meja, tapi semangat saya tak patah”

Please follow and like us:
0

KEDATANGAN Ramadan pastinya dinantikan peniaga kerana mereka dapat menjana pendapatan tambahan dengan berniaga di bazar.

Namun seorang peniaga telah diuji dengan insiden menyayat hati apabila gerai menjual air minuman di bazar Ramadan di Subang, Selangor miliknya dilanda musibah.

Meja yang digunakan untuk meletak balang-balang air minuman itu patah menyebabkan semua balang terjatuh, sehingga bahagian depan gerainya ‘banjir’ dengan takungan air berwarna-warni.

“Tragedi 2 Ramadan di bazar Ramadan Persiaran Atmosfera, sampai bazar petang tadi, peniaga tengah siap-siap set up barang niaga masing-masing.

“Ngam-ngam kami nak dekat sampai peniaga jual air-air jus, tiba-tiba gedebammm menggelongsor jatuh balang-balang air depan mata,” menurut posting di Facebook Shida Cda pada Selasa malam sehingga ia tular dan dikongsi lebih 1,500 kali.

Peniaga lain dan AJK bazar turut sama membantu membersihkan gerai.

Peniaga malang berkenaan, Samrah Abdul Gani, 46, memberitahu insiden berlaku pada kira-kira pukul 5 petang Selasa semasa hendak membuat persiapan untuk berniaga.

Jelasnya, kaki meja gerainya hampir patah sehingga menyebabkan ia terbalik kerana ia menampung beban balang-balang air minuman.

“Ketika kejadian, semuanya berlaku sangat pantas. Saya tak sempat nak berbuat apa-apa. Hanya dapat pandang dan pada masa sama rasa terkejut serta kelu lidah.

“Tujuh daripada lapan balang air minuman yang diletakkan di atas meja yang patah tu turut sama terbalik dan menumpahkan kesemuanya di jalan di depan gerai saya, hanya Tuhan saja yang tahu perasaan saya ketika itu,” katanya kepada mStar.

Gerai air minuman kembali beroperasi selepas kerja-kerja pembersihan dan pemasangan meja gantian. Foto ihsan Azilina Abd Latif

Samrah memberitahu, ia merupakan insiden terburuk yang pernah dialaminya sejak berniaga di bazar Ramadan enam tahun lalu, tetapi reda dengan ketentuan Ilahi.

Paling terharu apabila ada ramai pelanggan sanggup tunggu, malah ada yang datang semula untuk mendapatkan air minuman yang kami jual.

SAMRAH ABDUL GANI

“Sepanjang saya berniaga di bazar Ramadan, inilah pertama kali gerai saya kena macam tu sampai meja terbalik dan barang-barang terjatuh.

“Ketika itu, saya hanya fikir bukan nasib saya dan terima ia bukan rezeki saya sampai tujuh balang terjatuh, hanya tinggal balang berisi teh ais saja terselamat,” ujarnya.

Gerai air minuman yang diusahakan Samrah di bazar Ramadan. 

Bagaimanapun ibu kepada enam anak ini tidak patah semangat, sebaliknya menghubungi suaminya yang juga menjual air minuman di gerai yang terletak di lokasi berlainan.

“Suami kemudian memutuskan untuk membawa kesemua peralatan gerai air minumannya ke bazar Ramadan di tempat saya berniaga, termasuk balang-balang air.

“Dia tutup gerai di sana, dan meneruskan operasi di tempat saya menggunakan meja yang sepatutnya di gerai sana. Tutup sana untuk gantikan di sini,” katanya.

Samrah (kiri) bersama suami.

Menurut Samrah, dia terharu dengan peniaga-peniaga lain termasuk ahli jawatankuasa (AJK) bazar yang membantu menyusun semula barang-barangnya di gerai termasuk membersihkan laluan yang dipenuhi air pelbagai perisa di depan gerainya.

“Paling terharu apabila ada ramai pelanggan sanggup tunggu, malah ada yang datang semula untuk mendapatkan air minuman yang kami jual.

“Sokongan dan kerjasama memberi semangat kepada saya. Yang patahnya meja, tapi semangat saya tak patah. Saya tak putus asa dan kembali berniaga hari ini,” katanya.

Sumber: Mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: BOBO Dimana, BOBO BOBO Dimana!