BOMBA Telah Megenal Pasti Punca Pencemaran Sisa Toksik Sungai Kim Kim Dan Untuk Membersihkanya Memerlukan Kos Yang Tinggi!

Please follow and like us:
0

Cuaca panas, tiupan angin punca gelombang kedua pencemaran sisa toksik

Cuaca panas, tiupan angin punca gelombang kedua pencemaran sisa toksik

IPOH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) percaya insiden gelombang kedua pencemaran sisa toksik yang berlaku di Johor Bahru adalah disebabkan pergerakan tiupan angin selain cuaca panas di kawasan berkenaan, kata Ketua Pengarahnya Datuk Mohammad Hamdan Wahid.

Beliau berkata bagaimanapun, pihaknya telah mengenal pasti bahawa sistem pengudaraan di sekitar kawasan tersebut kembali pulih selepas pemantauan bacaan gas kimia di Sungai Kim Kim yang tercemar itu berada pada tahap selamat.

“Saya difahamkan tindakan untuk membersihkan sungai tersebut daripada sisa toksik memerlukan kos yang sangat tinggi kerana ia merupakan kerjasama bersepadu antara agensi kerajaan dan syarikat swasta yang mempunyai kepakaran membersihkan sungai itu secara keseluruhannya.

“Oleh itu, kerja-kerja pembersihan di sungai tersebut perlu dilakukan segera bagi mengelakkan lebih ramai lagi menjadi mangsa pencemaran sisa toksik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 melibatkan 146 pegawai dan anggota JBPM Negeri Perak di sini hari ini.

Pada Khamis lepas, seramai 1,400 pelajar sekolah Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan Taman Pasir Puteh diarah mengosongkan kawasan sekolah apabila beberapa pelajar mengalami sesak nafas, muntah dan pengsan selepas terhidu gas dipercayai daripada bahan kimia yang dibuang ke dalam sungai berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Mohammad Hamdan berkata punca kebakaran sebuah pusat hiburan di Jalan Raja Dr Nazrin Shah, di sini pada 20 Feb lepas akan diketahui tidak lama lagi.

Katanya siasatan yang dilakukan oleh pasukan forensik telah menemui beberapa bukti mengenai punca sebenar berlakunya kebakaran itu yang telah meragut enam nyawa.

“Saya percaya hasilnya akan dikeluarkan tidak lama lagi kerana indikatornya sudah ada, sudah ada bukti-bukti tertentu tetapi kita ‘zoom in’ untuk memastikan punca sebenar berlakunya kebakaran,” katanya.

Dalam kejadian itu, enam termasuk tiga warga asing maut dalam kebakaran di tingkat empat sebuah bangunan di sini yang berlaku kira-kira pukul 5.40 pagi.

Sumber: AstroAwani

8 sebatian kimia berbahaya di Sungai Kim Kim

PASIR GUDANG: Lapan sebatian kimia berbahaya disahkan dibuang di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang.

Antaranya ialah metana, hidrogen klorida, acrylonitrile, acrolein, benzene, toulene, xylene and limonene.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, berkata semua sebatian kimia berkenaan ditemui selepas Jabatan Kimia menganalisis secara lebih terperinci sampel air Sungai Kim Kim, khususnya di kawasan sisa kimia berbahaya berkenaan dibuang.

“Perincian sisa bahan kimia berbahaya masih lagi dilakukan bagi mengetahui secara menyeluruh kandungan sebatian kimia yang dibuang kerana masih ada sebatian yang masih belum dikenal pasti.

“Setakat ini, lapan sebatian kimia berbahaya berkenaan sudah dikenal pasti dan kita tunggu ujian selanjutnya.

“Limonene contohnya digunakan dalam proses paralisis (pengasingan atau menghancurkan) elemen tayar kitar semula dan ada juga sebatian kimia berkenaan yang digunakan sebagai pelarut organik,” katanya.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin. – NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas taklimat bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah JAS Johor, Datuk Dr Mohammad Ezzani Mat Salleh.

Sementara itu, Bee Yin berkata, JAS akan memeriksa lanjut sebanyak 252 industri berhampiran Sungai Kim Kim bagi menyiasat sama ada terdapat sampel sisa kimia berbahaya di dalam sungai berkenaan yang sepadan dengan apa yang diproses di kilang.

Katanya, ia bagi mengelakkan dalang yang bertanggungjawab membuang sisa kimia itu terlepas daripada didakwa dan diambil tindakan.

“Kita juga akan memasang lebih banyak alat mengesan gas di beberapa altitut ketinggian berbeza di sekitar kawasan pencemaran bagi memantau bacaan kualiti udara setiap masa.

“Ia bagi membolehkan langkah pencegahan awal diambil sebelum gas kimia berbahaya merebak lebih jauh dengan faktor cuaca, terutama hujan dan angin kencang, ” katanya.

Sumber: Berita Harian

Kredit: KLViral

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: BOBO Dimana, BOBO BOBO Dimana!